suria

Malaysia kini di fasa pemulihan, tapi bukan pengakhiran Covid-19 - Dr Noor Hisham

Pesakit Covid-19 sedang menjalani rawatan di hospital. Foto Bernama

MALAYSIA kini memasuki fasa pemulihan bagi membendung penularan wabak Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kes Covid-19 di negara ini menunjukkan kumulatif kes mendatar.

“Kita kini dalam fasa pemulihan. Sejak seminggu yang lalu, kes-kes positif kekal dua digit.

“Ia menunjukkan PKP berkesan tetapi ia bukan pengakhiran bagi Covid-19,” katanya pada sidang media, petang Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor bakal berakhir pada 28 April.

Mengenai PKPD di Simpang Renggam, Dr Noor Hisham berkata, KKM menerusi pejabat kesihatan daerah (PKD) akan memantau kawasan itu dari semasa ke semasa,

Berhubung PKP, beliau berkata, kerajaan memperkukuhkan kawalan sempadan dan kawalan pergerakan bagi mengawal kadar jangkitan Covid-19.

Menurut Dr Noor Hisham, jangkitan Covid-19 dijangka berterusan tetapi perlu membendung dan mengawal penularannya.

“Kita perlu membendung dan mengawal jangkitan dari semasa ke semasa, dari kawasan ke kawasan.

“Tujuan untuk melihat kes mendatar adalah dari segi keupayaan kemudahan perubatan dan kesihatan untuk menanganinya,” katanya sambil menambah ketika ini kurang 30 peratus katil pesakit Covid-19 di hospital-hospital, termasuk kurang penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan bantuan alat pernafasan.

PKP fasa pertama bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac, sebelum dilanjutkan ke fasa kedua (1 April hingga 14 April) dan fasa ketiga (15 April hingga 28 April).

PKP fasa keempat akan diteruskan bermula 29 April hingga 12 Mei depan.

pemulihan, PKP, Covid-19,

Artikel Sebelum

Artikel Lain