suria

Warga emas 78 tahun korban terkini Covid-19, 40 kes baharu

Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas orang awam. Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Isnin (27 April 2020) menyaksikan pertambahan 40 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 5,820 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah 1,764 kes.

Beliau memberitahu, terdapat satu kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

“Justeru, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 99 kes,” katanya pada sidang media, petang Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-99 (kes ke-4,087) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 April 2020 jam 4.31 pagi,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 37 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 95 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Isnin.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 3,957 kes,” kata Dr Noor Hisham.

kes, Covid-19, kematian, warga emas,

Artikel Lain