suria

Dua kematian terkini akibat Covid-19, Malaysia catat 51 kes baharu

Perkembangan terkini menyaksikan Malaysia mencatatkan kes baharu. Gambar sekadar hiasan. Foto Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 51 kes baharu, menjadikan keseluruhan 5,742 kes setakat Sabtu.

Daripada jumlah keseluruhan, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,882 kes di mana pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut mencatatkan dua lagi korban akibat virus itu, menjadikan setakat ini 98 kes kematian keseluruhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu kematian terkini akibat Covid-19,88 kes baharu

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 98 kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sabtu petang.

Setakat ini, 36 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, 99 pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan keseluruhan 3,762 bersamaan 65.5 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Berikut perincian kes kematian terbaharu yang diumumkan pada Sabtu:

- Kes kematian ke-97 (kes ke-2354) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 April 2020 jam 3.53 pagi.

- Kes kematian ke-98 (kes ke-2806) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1346 (yang merupakan anak beliau). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 24 April 2020 jam 5.43 petang.

Covod-19, KKM

Artikel Lain