suria

3 pesakit diabetes dan darah tinggi maut akibat Covid-19, terkini Malaysia catat 57 kes positif

KKM memperincikan jumlah kes terbaharu Covid-19 di negara ini pada Selasa petang.

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 57 kes baharu, menjadikan keseluruhan 5,482 kes setakat Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut mencatatkan tiga lagi korban akibat virus itu, menjadikan setakat ini 92 kematian keseluruhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kematian, 36 kes baharu positif Covid-19... angka harian paling rendah dicatat

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 92 kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa petang.

Setakat ini, 43 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 memerlukan bantuan pernafasan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, 54 pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan keseluruhan 3,349 bersamaan 61.1 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Berikut perincian kes kematian terbaharu yang diumumkan pada Selasa:

-Kes kematian ke-90 (kes ke-2050) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau adalah ibu kepada kes ke-2053 (yang turut mempunyai gejala pada hari yang sama). 

Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 20 April 2020 jam 1.47 tengah hari.

-Kes kematian ke-91 (kes ke-4090) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. 

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 2.28 pagi.

-Kes kematian ke-92 (kes ke-5332) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-4711. 

Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 1.30 pagi.

KKM, Covid-19, PKP

Artikel Lain