suria

SPRM terima aduan wang ratusan ribu dimiliki Syed Saddiq, kertas siasatan dibuka

Menerusi laporan polis yang dibuat, Syed Saddiq menganggarkan wang tunai berjumlah RM250,000 hilang dalam peti besi yang disimpan di kediamannya pada Sabtu.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung aduan sejumlah besar wang dimiliki Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dipercayai hilang dari kediamannya pada Sabtu lalu.

"SPRM telah menerima aduan berhubung pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri seperti dilaporkan oleh media semalam.

"Berdasarkan aduan itu, SPRM telah membuka satu kertas siasatan bagi menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut mengikut Akta SPRM 2008," demikian menurut satu kenyataan suruhanjaya itu pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang RM250,000 dalam peti besi di rumah, Syed Saddiq minta jangan buat spekulasi

Pada Isnin, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat laporan polis berhubung kehilangan wang ratusan ribu ringgit di kediamannya dekat Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq. Foto Twitter Syed Saddiq

Menerusi laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sungei Way itu, Syed Saddiq menganggarkan wang tunai berjumlah RM250,000 hilang dalam peti besi yang disimpan di kediamannya pada Sabtu.

Syed Saddiq berkata, beliau menyedari wang tersebut hilang daripada peti besi di kediamannya pada kira-kira pukul 7 malam.

Menurut laporan polis itu juga, Syed Saddiq memaklumkan bahawa peti besi miliknya telah ditetapkan kod rahsia dan hanya individu tertentu yang tahu di mana beliau menyimpannya.

“Tiada sebarang kesan umpil dan keadaan rumah serta bilik adalah kemas,” katanya sambil menambah bahawa kali terakhir beliau membuka peti besi tersebut pada 13 atau 14 Mac lalu.

SPRM, Syed Saddiq, duit hilang

Artikel Lain