suria

“Suspek turun di Kulim” - Penumpang bas ekspres dari Seremban, berhenti di 8 lokasi sebelum tiba di Sg Petani diminta hubungi bilik gerakan

Semua penumpang yang menaiki bas ekspres ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim. -foto Facebook

SEMUA penumpang yang menaiki bas ekspres dari Seremban, Negeri Sembilan menuju ke Sungai Petani, Kedah pada Isnin lalu (16 Mac) diminta memberi kerjasama untuk menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook pejabat kesihatan itu pada Ahad, bas ekspres Jasmine dengan nombor pendaftaran PLQ9689 itu telah bertolak dari Terminal 1, Seremban jam 8.30 malam dan singgah di lapan lokasi lain sebelum menghantar penumpang ke destinasi terakhir di Sungai Petani.

Lapan lokasi tersebut adalah Shah Alam, Ipoh, Kamunting, Bagan Serai, Parit Buntar, Nibong Tebal, Kulim dan Butterworth.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua penumpang naik bas ekspres bersama individu disyaki Covid-19 dari JB ke Kuantan telah hubungi bilik gerakan - “Sudah selesai”

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Seorang penumpang naik bas ekspres dari JB-Kuantan positif Covid-19

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Kulim, Navaaraja a/l Vijayakumar, ketika dihubungi mStar berkata kesemua penumpang itu dikehendaki menghubungi bilik gerakan tersebut kerana salah seorang daripada penumpangnya disyaki Covid-19.

"Penumpang tersebut naik dari Seremban dan turun di Kulim... jadi kita minta semua penumpang yang menaiki bas itu untuk hubungi kita kerana mereka juga terdedah kepada jangkitan. Dia sudah tentu menyentuh permukaan sepanjang perjalanan.

"Kita anggarkan seramai 30 hingga 40 orang penumpang menaiki bas berkenaan pada malam itu dan sehingga kini (1.30 petang) seramai 10 orang telah menghubungi kita," katanya kepada mStar.

Maklumat mengenai bas ekspres Jasmine.

Navaaraja berkata, mereka yang menghubungi bilik gerakan akan diambil maklumat dan diminta menjalani saringan, tetapi bagi yang mempunyai simptom diminta terus ke hospital kerajaan untuk ujian Covid-19.

Pada jam 10 malam Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac.

Dalam pada itu kenyataan tersebut turut dikongsi di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak lama selepas ia dimuatnaik.

Penumpang yang menaiki bas ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim di talian 04-4949121.

Artikel Lain