suria

Pelajar UiTM positif Covid-19, jumlah terkini tiga orang - Naib Canselor

Setakat ini, tiga pelajar UiTM disahkan positif Covid-19.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mengesahkan bahawa seorang pelajar pengajian jarak jauhnya (E-PJJ) positif Covid-19, pada Jumaat lalu.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, setakat ini, keseluruhan kes pelajar yang disahkan positif Covid-19 adalah seramai tiga orang dan sedang menjalani rawatan.

Mengenai kes pada Jumaat, beliau berkata, pelajar berkenaan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dijangkiti melalui bapanya yang didapati positif virus itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari duka buat Malaysia, terkini Covid-19 catat 8 kematian

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya minta tolong untuk tempoh 2 minggu ini saja” – Tolonglah! PM rayu ‘stay at home’... jangan balik kampung

“Bapa pelajar berkenaan mendapat jangkitan tersebut daripada kontak iaitu saudaranya yang menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

“Pelajar tersebut pula telah menghadiri kuliah pada 15 Mac dan apabila mendapati dirinya disahkan positif Covid-19, dia telah memaklumkan kepada pensyarahnya mengenai keadaannya yang dijangkiti,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam Sabtu.

Sehubungan itu, UiTM melalui Pusat Gerakan Covid-19 dan Pusat Kesihatan UiTM telah memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keadaan pelajar itu.

“Kontak-kontak rapat telah dikenal pasti oleh pihak UiTM dan mereka telah menjalankan saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah Kepong. 

“Pihak UiTM juga telah melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di kelas dan kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan virus tersebut tersebar,” katanya.

Mohd Azraai turut meminta semua pelajar dan kakitangan agar tidak bimbang terhadap keselamatan mereka kerana pihak UiTM telah mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang sepatutnya. 

“Mereka juga telah disarankan untuk mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan UiTM dan KKM dari semasa ke semasa,” katanya.

Covid-19, UiTM, pelajar, naib canselor

Artikel Lain