suria

Tular rakaman suara mengenai staf positif Covid-19, HTF buat laporan polis

Petugas kesihatan bersedia bagi melakukan proses saringan kepada orang ramai. Gambar sekadar hiasan/Foto Bernama

SUSULAN tular rakaman suara mengenai seorang staf positif Covid-19, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar membuat laporan polis.

Menerusi salinan laporan polis tersebut, ia dibuat bertujuan untuk memaklumkan kepada kakitangan supaya tidak menyebarkan maklumat peribadi pesakit dan orang awam tidak panik serta bimbang berhubung keadaan itu.

Sehubungan itu, Pengurusan HTF menasihatkan kepada semua pihak iaitu orang awam, warga kerja kesihatan dan admin yang mengendalikan halaman media sosial supaya tidak menyebarkan maklumat peribadi pesakit dan tidak sewenang-wenangnya membuat penyebaran melalui halaman masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor sedang kritikal didakwa ‘demand’ wad first class, tak dedah balik dari Turki... isteri beri penjelasan– “Doakan suami saya sembuh”

“Semua pihak juga adalah dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi bagi sebarang info yang tidak rasmi dan sahih kepada mana-mana medium media sosial seperti Facebook, grup WhatsApp bagi sebarang audio, tulisan, gambar, video dan lain-lain yang menimbulkan spekulasi atau panik.

“Pihak pengurusan Hospital Tuanku Fauziah menyarankan kepada semua pihak memberi kerjasama dan sokongan dengan mengetahui perkara yang tepat dan betul hanya melalui portal dan medium rasmi media sosial milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurut pengurusan HTF dalam satu kenyataan pada petang Ahad.

Salinan laporan polis yang dikongsikan di Facebook Hospital Tuanku Fauziah.

Terdahulu, tular klip audio perbualan menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa seorang kakitangan di sebuah hospital di Perlis, tidak memaklumkan kepada petugas kesihatan mengenai sejarah perjalanannya ke Turki.

Staf yang dipercayai doktor itu turut didakwa enggan masuk ke bilik kuarantin, sebaliknya mahu ditempatkan di wad kelas satu hospital berkenaan.

Menerusi posting di laman sosial, isteri kepada doktor berkenaan menafikan segala dakwaan tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan bahawa terdapat seorang kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan tiba di tanah air, 8 Mac lalu.

Menurutnya, beliau dimasukkan ke wad pada 16 Mac, disyaki jangkitan paru-paru dan dehidrasi. Ujian makmal di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati beliau positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, pihak hospital telah mengenal pasti kontak-kontak rapat dan menjalankan saringan Covid-19 terhadap mereka, serta ahli keluarga terdekat pegawai itu. Pembersihan dan pembasmian kuman di kawasan berkaitan juga telah dilakukan.

Beliau berkata, semua pesakit dan orang awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka, kerana pihak HTF telah mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang perlu.

Artikel Lain