suria

Covid-19: Enam lagi individu disahkan positif, merupakan kontak rapat kes ke-26

Enam kes baharu Covid-19 dilaporkan pada Ahad.

WABAK koronavirus 2019 (Covid-19) terus mencatatkan peningkatan dengan enam kes baharu dilaporkan pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua enam kes baharu yang dilaporkan itu terdiri daripada kontak-kontak rapat kluster kes ke-26.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 99 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 lagi kes baharu Covid-19 hari ini

"Kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dantelah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.

"Aktiviti pengesanan kontak rapat masih sedang dijalankan sehinggapunca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenalpasti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Daripada sejumlah 99 kes Covid-19 di Malaysia, dua pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi kerana memerlukan bantuan pernafasan.

Dua pesakit berkenaan turut diberikan rawatan anti-viral.

"Daripada 99 kes, sebanyak 18 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, 79 kes dari kalangan kontak rapat dan dua lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan," ujar Noor Hisham.

Beliau menambah kes-kes dalam gelombang kedua (bermula kes ke-23 sehingga kes ke-99), hanya lima kes yang dilaporkan adalah antara PUI mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

"Manakala kes-kes lain pula melibatkan kluster yang terdiri daripada kontak-kontak rapat dan mempunyai kaitan antara satu sama lain," ujarnya lagi.

Dalam pada itu ujar Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

"Sehingga 8 Mac 2020, sebanyak 567 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

"Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini," katanya lagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kes ke-41 telah pulih dan dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur.Ini menjadikan 24 kes telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 setakat ini.

Pesakit telah dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur.

Covid-19, kontak, KKM

Artikel Lain