suria

10 lagi kes baharu Covid-19 hari ini

Sebanyak 10 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 93 kes di negara ini.

SEBANYAK 10 kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) dicatatkan pada Sabtu menjadikan keseluruhannya 93 kes direkodkan di negara ini.

Ketua Pengarah kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes ini telah dikesan untuk rawatan selanjutnya.

Malah katanya lagi, kontak-kontak rapat bagi kes tersebut sedang dikenalpasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

"Kesemua kes baharu yang dilaporkan pada hari ini merupakan kontak rapat kepada kes ke-33 di mana, empat kes iaitu kes ke-85, 86, 87 dan 93 merupakan generasi pertama kontak rapat kepada kes ke-33.

"Manakala enam kes baharu ini pula merupakan generasi kedua iaitu kontak rapat kepada kes ke-33 iaitu kes ke-84, 88, 89, 90, 91, dan 92.

"Kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan petang Sabtu.

Menurut Dr Noor Hisham, hasil siasatan terkini terhadap kontak-kontak rapat kepada kes ke-26, mendapati satu kluster jangkitan Covid-19 berkait dengan kes ke-33.

"Sejumlah 132 kontak rapat telah dikenalpasti berkait dengan kes ini. Daripada jumlah tersebut, 18 kes telah disahkan positif, kini masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

"Manakala, 38 kontak rapat adalah negatif dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari.

"Keputusan makmal bagi 76 lagi kontak rapat masih belum diperolehi namun semua kontak rapat ini dilaporkan sihat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan bagi mengenalpasti punca jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

"Dengan pertambahan 10 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 93 kes.

"Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, kontak rapat, dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

"Daripada jumlah ini, 75 warganegara Malaysia, 15 warganegara China dan tiga dari Amerika Syarikat, Jepun serta Itali," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM turut menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-10.

"Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini," katanya.

KKM, Covid-19, Dr Noor Hisham

Artikel Lain