suria

Kenal individu yang boleh dijadikan teladan? Jom hantar pencalonan untuk Anugerah Warga Sekolah Paling Baik

Minggu Baik Hati Kebangsaan #StandTogether 2020 disambut pada setiap minggu pertama bulan April.

KENAL dengan mana-mana pelajar serta warga sekolah yang wajar dijadikan contoh teladan?

Kongsi kisah mereka dan calonkan individu-individu berkenaan untuk Anugerah Pelajar, Guru, Guru Besar, Kaunselor atau Staf Sekolah Paling Baik di Malaysia.

Kategori-kategori tersebut diwujudkan sempena Minggu Baik Hati Kebangsaan #StandTogether 2020 yang disambut pada setiap minggu pertama bulan April. 

Kempen yang memasuki tahun ketiga penganjuran ini diadakan bertujuan menyemai amalan baik hati dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda di Malaysia.

Kempen yang turut mendapat sokongan Kementerian Pelajaran ini dijayakan oleh R.AGE serta pemaju hartanah terkemuka SP Setia. 

“Hasrat kami cuma satu, iaitu untuk melahirkan masyarakat yang lebih penyayang, prihatin serta bersikap inklusif.

“Kami percaya secebis usaha kami ini bakal memberi makna yang lebih besar sekiranya ianya dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujar Timbalan Eksekutif dan Penerbit R.AGE, Ian Yee.

Pencalonan bagi setiap anugerah boleh dibuat melalui link berikut http://bit.ly/st2020awards (WhatsApp). 

Penganjuran Minggu Baik Hati Kebangsaan #StandTogether sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Tarikh tutup pencalonan adalah pada 17 April.

Pemenang bakal menerima plak kemenangan, gelaran Murid, Guru, Kaunselor Guru besar atau Staf Sekolah Paling Baik di Malaysia serta tayangan video pendek mengenai diri mereka. 

Aktiviti lain yang turut diadakan sempena Kempen Minggu Baik Hati ini termasuklah Pertandingan #StandTogether yang menawarkan sejumlah RM1,000 wang biayaan bagi sekolah terpilih.

Penyertaan bagi Pertandingan #StandTogether ini terbuka untuk setiap jenis sekolah di Malaysia serta Jakarta, Indonesia.

Sementara itu, orang awam yang ingin turut serta menyemarakkan lagi kempen menyebarkan amalan baik hati ini boleh berbuat demikian dengan menyertai Cabaran Baik Hati.

Peserta Cabaran Baik Hati akan menerima misi untuk melakukan satu perkara baik setiap hari, sepanjang Minggu Baik Hati Kebangsaan yang akan disambut pada April 5-10.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti yang bakal diadakan sempena Minggu Baik Hati Kebangsaan #StandTogether 2020 boleh didapati di www.standtogether.my.  

#StandTogether 2020, sekolah, R.AGE

Artikel Lain