suria

Air Selangor fokus kes paip pecah, yakin catat pencapaian terbaik NRW 2020

Air Selangor memperuntukkan sejumlah RM161.9 juta pada 2019 bagi penggantian paip sepanjang 168.34km.

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan terbaik khusus bagi merawat dan mengagihkan air bersih kepada penduduk Lembah Klang - Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Ia terbukti baru-baru ini, apabila pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air ini mencatatkan sejarah tersendiri dengan berjaya merekodkan penurunan kadar purata Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water (NRW), ke paras 28.73% pada 2019 iaitu penurunan sebanyak 1.78% berbanding  2018 (30.51%).

ARTIKEL BERKAITAN: Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

ARTIKEL BERKAITAN: Melangkah ke era transformasi, Air Selangor memulakan pemacu digital

Pencapaian ini jauh lebih baik berbanding sasaran Air Selangor bagi 2019 yang menetapkan kadar 29.5%.

Pencapaian ini diperoleh menerusi perancangan rapi dan pelaksanaan beberapa inisiatif dalaman (in-house) yang berterusan sejak 2017.

Dalam tempoh tiga tahun, kadar NRW berjaya dikurangkan sebanyak 2.79% iaitu daripada 31.52% (2017) kepada 28.73% (2019).

Bersandarkan kepada rekod ini, Air Selangor positif bahawa sasaran penurunan sebanyak satu peratus kadar NRW setiap tahun dapat dicapai untuk tahun-tahun berikutnya.

Kadar peratusan NRW yang berjaya dikurangkan dalam tempoh tiga tahun bermula 2017 hingga 2019.

Penurunan NRW ini telah secara langsung menyumbang kepada penjimatan kos operasi Air Selangor sebanyak RM 35.4 juta.

Apa itu NRW?

Secara umumnya, NRW adalah air yang ‘hilang’ semasa proses pengagihan bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air kepada pengguna.

Keadaan ini disumbangkan oleh beberapa faktor seperti paip pecah, paip bocor dan juga faktor pihak ketiga.

Untuk rekod, sebanyak 2,787 kes paip pecah dicatatkan pada 2019, berkurangan sebanyak 28% berbanding 3,871 kes pada 2018. Daripada jumlah itu, 295 kes disebabkan pihak ketiga.

Jumlah kes paip pecah berjaya diturunkan sebanyak 28 peratus dalam masa dua tahun.

Hanya sembilan kes paip pecah direkodkan bagi setiap 100 kilometer (km) berbanding tanda aras antarabangsa terhadap Indeks Paip Pecah (PBI) iaitu 13 kes paip pecah bagi 100km setahun.

Bagi kes paip bocor pula, sebanyak 108,759 kes telah dicatatkan pada 2019 dan ia meningkat berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 104,033 kes.

Peningkatan itu susulan kesan positif program pengesanan kebocoran yang telah dilaksanakan secara dalaman oleh pihak syarikat.

Beberapa insiatif lain yang dilakukan oleh Air Selangor bagi mengurangkan kehilangan air.

Antaranya, pemasangan sensor pada paip utama, di mana ia membolehkan pemantauan tekanan air dilakukan dan mengesan ‘pressure transient’.

Data yang diperoleh oleh Pusat Kawalan Operasi Pintar melalui pelan ini akan memastikan kerja pembaikan paip dapat dilaksanakan dengan lebih proaktif.

Sejumlah 318,839 meter lama dan meter tersekat telah digantikan kepada meter baharu pada 2019.

Selain itu, Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA) dan Data Logger turut digunakan untuk memantau limpahan air dengan mengawal paras air di 1,601 kolam air dan 731 rumah pam.

Air Selangor juga sudah menggantikan 318,839 meter lama dan meter tersekat kepada meter baharu pada 2019 untuk mengatasi kehilangan komersial yang disebabkan oleh bacaan meter yang tidak tepat.

Malahan, Air Selangor juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mencegah aktiviti kecurian air akibat sambungan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jumlah peruntukan oleh Air Selangor bagi pelaksanaan program menurunkan kadar NRW dan kerja-kerja penggantian meter. 

Bagi 2020 pula, Air Selangor memperuntukkan kira-kira RM171.63 juta berbanding RM164 juta pada 2019 untuk pelaksanaan program menurunkan kadar NRW dan kerja-kerja penggantian meter.

Sebanyak RM144.5 juta pula diperuntukkan untuk kerja penggantian paip lama dan kerap pecah berbanding RM161.9 juta pada 2019 bagi penggantian paip sepanjang 168.34 km.

Dengan inisiatif dan program yang berterusan, Air Selangor yakin mampu mengurangkan kadar NRW yang baik menjelang hujung tahun ini.

Artikel Lain