Kuota Haji Malaysia untuk tahun ini ditambah lagi, meningkat kepada 31,600

Penambahan kuota itu adalah hasil rundingan kerajaan Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring dengan peningkatan populasi penduduk negara ini.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan bahawa kuota rasmi Haji untuk Malaysia bagi tahun ini (1441 Hijrah) meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lalu.

Penambahan kuota 1,400 orang itu, kata Mujahid, adalah hasil rundingan kerajaan Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring dengan peningkatan populasi penduduk negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecut perut dapat visa Furada! Ketahui tip jika dapat visa ini untuk buat haji

"Kita diberikan kuota 30,200 jemaah berpandukan 0.01 peratus penduduk yang diambil populasi kita yang tidak dikemas kini (iaitu populasi 30 juta) tetapi mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2017, penduduk Malaysia telah meningkat iaitu 31,600,000.

"... kerana keputusan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang menyatakan setiap negara dapat (kuota haji) 0.01 peratus daripada populasi penduduknya maka kita memaklumkan peningkatan mengikut statistik (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terbaharu itu," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, pada Rabu.

Ditemui sebaik tiba di tanah air dari Riyadh hari ini, Mujahid yang berada tiga hari di Arab Saudi sejak Ahad, mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Mohammad Saleh bin Taher Benten di Makkah bagi membincangkan isu-isu berkenaan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.

Beliau turut mengadakan perbincangan bersama Menteri Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi  Sheikh Abdullatif bin Abdulaziz Al-Sheikh di Riyadh, sebelum pulang ke Malaysia.

Mujahid berkata dengan penambahan kuota rasmi itu akan dapat mengurangkan jumlah mereka yang menunggu untuk menunaikan ibadah haji bagi musim haji 1441H dan tahun-tahun berikutnya, sekali gus memendekkan tempoh giliran.

“Insya-Allah, pada tahun ini, seramai 31,600 jemaah Malaysia dapat menunaikan haji," katanya.

Ditanya mengenai bagaimana persediaan pihak TH dalam penambahan kuota itu, Mujahid berkata:  "Alhamdulillah... sudah tentu apabila kita yang meminta (penambahan kuota haji), jadi pihak TH sudah bersedia serta semua aspek telah diambil kira". - BERNAMA

Artikel Lain