suria

“Saya dengan hati yang reda walaupun berat...” - Sah! Maszlee letak jawatan Menteri Pendidikan

Maszlee ditemui selepas mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas yang diadakan di Lobi Blok E8 Kompleks E Kementerian Pendidikan Malaysia Putrajaya pada Khamis. Foto Bernama

KHABAR angin yang bertiup kencang mengenai peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan berundur dari Kabinet.

Maszlee berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di atas nasihat perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan nasihat perdana menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan menteri pendidikan kepada perdana menteri, berkuatkuasa pada 3 Januari 2020,” katanya pada sidang media di bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya, petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Khabar angin bertiup kencang, Maszlee letak jawatan menteri?

ARTIKEL BERKAITAN: Gambar menteri jadi imam di surau kementerian tular

Maszlee berkata, meskipun pelbagai pencapaian dan keberhasilan dalam Kementerian Pendidikan sepanjang tempoh 20 bulan berkhidmat, beliau dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

Maszlee (tengah) mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas. Foto Bernama

Malah, beliau sempat mengimbas kontroversi demi kontroversi melibatkan dirinya sejak hari pertama menerajui kementerian itu.

“Walau bagaimanapun, saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas dituruti warga Kementerian Pendidikan (KPM). Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, ‘Pendidikan Untuk Semua’.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mengucapkan penghargaan kepada Tun Mahathir di atas peluang yang diberikan kepada beliau menerajui Kementerian Pendidikan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Tun Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi KPM. Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia. 

“Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti saya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam satu kenyataan pada petang Khamis berkata, Maszlee telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada beliau pada Khamis.

“Saya menerima peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa 30 Januari 2020. Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet. 

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” ujar Dr Mahathir.

Maszlee yang merupakan bekas pensyarah dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada 21 Mei 2018.

Artikel Lain