suria

Dego Ride kembali beroperasi, dijangka tawar 5,000 peluang pekerjaan

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bergambar bersama para pekerja Dego semasa hadir bagi merasmikan Pejabat Urusan Dego Ride hari ini. Foto: Bernama

PERKHIDMATAN teksi motosikal tempatan, Dego Ride kembali beroperasi bermula pada Rabu setelah mendapat kelulusan khas daripada Kabinet.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perkhidmatan itu dijangka mampu menawarkan 5,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia yang memiliki motosikal, khususnya kalangan berpendapatan rendah (B40) dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 hingga RM3,500.

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek, Dego Ride mula beroperasi di Malaysia pada Januari depan

ARTIKEL BERKAITAN: GoJek: Jangan ketepikan Dego Ride - Pengasas

“Walaupun ini bukan pekerjaan jangka masa panjang, segelintir mungkin, tetapi setidak-tidaknya ia dapat dijadikan sebagai batu loncatan (untuk mencari rezeki) jika hendak dibandingkan sebelum ini kerana kita nak pastikan nasib anak muda sentiasa terbela,” katanya selepas merasmikan pejabat urusan Dego Ride di Kuala Lumpur pada Rabu.

Dego Ride yang buat masa kini terhad perkhidmatannya di Lembah Klang, boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makanan dan dokumen.

Pekhidmatan teksi motosikal itu memulakan perkhidmatan  pada November 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50 dan terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun pada Januari 2017, perkhidmatan itu mendapat bantahan daripada kerajaan terdahulu dan diharamkan atas alasan keselamatan selain dilaporkan bersalahan dengan lesen kenderaan persendirian, serta melanggar Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj berkata sehingga kini terdapat hampir 4,000 orang yang telah berdaftar sebagai ‘rider’ dan  sebagai permulaan hanya 700 permohonan yang diluluskan.

“Syarat-syarat untuk menjadi rider adalah berumur 18 tahun ke atas, mempunyai lesen penuh B2, perlindungan insurans dan sekiranya berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian,” katanya yang berhasrat untuk perluaskan perkhidmatan itu ke negeri lain dalam masa terdekat.

Menurut Nabil, semua jenis motosikal berkapasiti 150cc dibenarkan kecuali motosikal yang telah diubah suai bagi memastikan keselamatan penumpang. - BERNAMA

Artikel Lain