suria

Hina kereta uzur: Fahmi Fadzil jejaki pemandu, bantu atasi masalah penglihatan

Fahmi Fadzil bersama Yap Chi Hoe.

PERNAH dikritik kerana didakwa menghina sebuah kereta uzur menerusi Twitter baru-baru ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil akhirnya bersemuka dengan pemandu itu.

Kisah pertemuan berkenaan dikongsikan menerusi Facebook miliknya pada Rabu.

"Pada 8 September lalu, saya telah tweet berkenaan sebuah kereta yang dalam keadaan amat daif dan kelihatan seperti tidak selamat untuk dipandu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak seni ke pentas ceramah, itulah Fahmi Fadzil

"Malangnya, tweet saya telah disalah faham. Ada yang beranggapan saya memperlekeh keadaan fizikal kereta itu," tulisnya.

Atas bantuan beberapa pihak, wakil rakyat itu akhirnya berjaya menghubungi lelaki berkenaan, Yap Chi Hoe yang bekerja sebagai pemandu lori.

"Pada mulanya, Yap tidak mahu bertemu. Saya berkata yang saya mahu memohon maaf kepada beliau, tetapi beliau tidak yakin.

"Maka saya anggap cerita ini tamat di situ. Namun selepas beberapa hari, Yap pula menghubungi saya. Beliau setuju untuk bertemu," ujarnya.

Fahmi turut berkongsi kisah duka yang menimpa pemandu berusia 39 tahun itu.

Ujarnya, Yap mengalami kemalangan pada 8 September lalu apabila keretanya dilanggar sebuah kontena dari arah belakang.


Tweet yang dimuat naik Fahmi baru-baru ini.

"Beliau telah menunggu trak tunda dan kerana beliau perlu tepati temu janji maka telah membuat keputusan untuk tetap memandu kereta yang telah dilanggar lori kontena itu.

"Dari perbualan bersama Yap, saya dapati beliau sedang menghadapi masalah penglihatan yang mungkin mengakibatkan kehilangan penglihatan total, dan ketika itu membuat keputusan untuk mengusahakan bantuan sebaik mungkin.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pihak pengurusan Hospital Pantai Kuala Lumpur bersetuju untuk membantu secara pro bono sebagai sebahagian dari projek CSR mereka.

"Doktor pakar mata telah mendapati satu mata beliau mengalami masalah ‘chronic retinal detachment’, dan satu lagi perlu menjalani rawatan laser," tulis fahmi lagi.

Akhirnya, dia menjalani pembedahan pada Selasa dan Fahmi sempat melawatnya di wad pada Rabu.

Tambah Fahmi, dia yakin Yap mampu membina kehidupan yang lebih baik apabila matanya sudah dirawat.

"Semoga segala usaha kita diberkati Ilahi," tulisnya ringkas di penghujung perkongsian itu.

Artikel Lain