suria

Seorang maut, 10 rakyat Malaysia cedera kemalangan bas di Turki

Kemalangan melibatkan rombongan rakyat Malaysia berlaku di di Afyonkarahisar, Turki petang Rabu. Foto kredit: FB Noreen Kartal.

SEORANG rakyat Malaysia maut, manakala 10 lagi cedera setelah bas yang mereka naiki ketika mengikuti satu rombongan terlibat dengan kemalangan di Afyonkarahisar, Turki pada Rabu.

Wisma Putra yang dihubungi Bernama mengesahkan kemalangan bas yang dinaiki oleh 35 rakyat Malaysia itu berlaku ketika rombongan berkenaan dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

"Kemalangan berlaku di Afyonkarahisar menyebab seorang maut manakala 10 orang lagi cedera termasuk empat daripada mereka dikatakan mengalami kecederaan serius.

"Mangsa kemalangan sedang dirawat di Hospital Afyonkarahisar yang terletak kira-kira 300 km daripada Ankara. Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) Ankara sedang mengumpul maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan berhubung perkara ini," kata jurucakap Wisma Putra.

Pegawai daripada Malawakil Ankara dilaporkan akan melakukan lawatan konsular secepat mungkin untuk memberikan bantuan sewajarnya.

Wisma Putra dijangka mengeluarkan kenyataan penuh mengenai insiden itu esok.

Sementara itu Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan malam ini mengesahkan bas yang terlibat dengan kemalangan itu membawa rombongan 35 kakitangannya yang sedang melancong ke negara berkenaan.

Perbadanan itu menerima menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan daripada Kedutaan Malaysia di Turki.

“PKNS masih menantikan kenyataan rasmi daripada pihak Kedutaan Malaysia di Turki yang sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan dan hospital di Afyonkarahisar. Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu. -Bernama

Kemalangan Turki, PKNS, Wisma Putra

Artikel Lain