suria

Mufti WP sayu jiran Cina meninggal dunia – “Terima kasih kerana hadirkan Pak Choong dalam hidup saya, cipta kenangan indah bersama”

KENANGAN... Zulkifli (kanan) bersama mendiang Pak Choong. Foto instagram drzulkifli.albakri

WALAUPUN berlainan agama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengeratkan hubungan silaturrahim bersama seorang jiran berbangsa Cina.

Malahan, setiap kali Tahun Baharu Cina, beliau sering menghadiahkan kek kepada jirannya sekeluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran sambut Gong Xi Fa Chai, Mufti WP hadiah kek pengerat silaturahim sesama insan

Namun, Zulkifli sayu apabila menerima berita sedih mengenai jirannya yang lebih dikenali sebagai Pak Choong meninggal dunia pada Ahad.

“Hari ini hari yang menghibakan apabila menerima berita pemergian seorang jiran saya yang berbangsa Cina.

“Mendiang Pakcik Choong atau pemilik nama sebenar Choong Kooy Choon selalu menghadiahkan saya pelbagai haiwan peliharaannya kerana kami berkongsi hobi yang sama.

“Setiap kali Tahun Baharu Cina, saya tidak pernah lupa menghadiahkan kek untuk beliau sekeluarga. Beliau sudah pasti membalasnya dengan beberapa kotak limau Mandarin,” tulis Zulkifli menerusi posting di Instagram miliknya, petang Ahad.

Zulkifli sering menghadiahkan kek kepada jirannya berbangsa Cina sempena Tahun Baharu Cina.

Menurut mufti berkenaan, hidup dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia adalah nikmat Allah SWT untuk dimanfaatkan bersama demi menbina masa depan Malaysia yang lebih harmoni.

“Terima kasih Allah SWT kerana menghadirkan mendiang Pak Choong dalam hidup saya, mencipta kenangan indah bersama dan membenarkan lagi keimanan saya bahawa kita semua asalnya daripada nenda yang sama iaitu Adam dan Hawa,” ujar Zulkifli.

Zulkifli sebelum ini pernah memberitahu meskipun pemberian kek kepada jirannya berbangsa Cina hanya sumbangan kecil, tetapi beliau berharap hadiah tersebut dapat menyumbang kepada keharmonian rakyat Malaysia berbilang bangsa.

"Zahirkan keindahan Islam, sebarkan semangat perpaduan," ujar beliau. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain