suria

Nur Fitri boleh terus pengajian - TPM

Dr Wan Azizah.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Nur Fitri Azmeer Nordin yang didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London boleh meneruskan pengajiannya di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu bersikap adil kepada semua termasuk bekas pelajar jurusan Matematik itu dengan dalam masa yang sama akan memantau perlakuannya bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Dia sudahpun menjalani hukumannya atau sebahagian daripadanya...adakah kita mahu menghukumnya seumur hidup...Pada masa yang sama kita mahu menjaga anak-anak kita juga, jadi kita perlu seimbang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan masyarakat terhadap Nur Fitri dan sama ada dia wajar diberi peluang selepas menerima hukuman atas kesalahannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Label pesalah pedofilia ‘akan sakiti anak anda’ bukan caranya, amaran Syed Azmi “Jangan dekati kanak-kanak, atas talian atau dunia sebenar!”

Dr Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Rakyat peringkat Negeri Kedah di Pusat Membeli-Belah Aman Central, di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementeriannya telah menyediakan pangkalan data bagi pesalah jenayah terhadap kanak-kanak, namun data yang ada hanya bermula pada 2017.

“Kami akan buat lebih komprehensif sebab kutipan data hanya pada 2017, tapi Fitri pada 2015 dan dia berada di luar negara jadi kami akan lihat kelemahan ini dan akan mengatasinya, supaya keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita akan terpelihara,” katanya.

Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Nur Fitri menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sebelum kerajaan Malaysia membawanya pulang.

Nur Fitri kini diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas mula mendaftar sebagai pelajar di institusi itu sejak 2016 bagi program pengajian peringkat ijazah sarjana muda. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain