suria

Tumpu bicara kes rogol, Paul Yong bercuti

PAUL Yong Choo Kiong berkata, beliau mengambil keputusan untuk bercuti daripada tugasnya sebagai Anggota Exco Kerajaan Perak untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan kes rogol yang dihadapinya.

Yong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menimbangkan dengan teliti untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan itu.

Buat sementara waktu, Yong berkata, beliau akan terus berkhidmat kepada para pengundi di Dewan Undangan Negeri Tronoh yang diwakilinya seperti yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya turut merasakan bahawa saya perlu mengutamakan kepentingan negeri ini mengatasi kepentingan peribadi, seperti yang saya sentiasa lakukan dalam kerjaya saya sebagai ahli politik dan saya akan maklumkan keputusan saya ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini,” kata Yong menerusi satu kenyataan.

Menurut Yong, beliau telah mengarahkan peguamnya supaya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan seawal yang boleh.

Jumaat lepas, Yong, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol bekas pembantu rumahnya berusia 23 tahun pada 7 Julai di rumahnya di Meru, di Ipoh , Perak. - Bernama

Paul Yong, rogol

Artikel Lain