suria

Mahligai 14 tahun Nik Nazmi musnah, cerai isteri talak satu

Nik Nazmi bercerai talak satu dengan isterinya, Imaan.

AHLI Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan isterinya Imaan Abdul Rahim sepakat mengakhiri perkahwinan yang dibina sejak 14 tahun lalu melalui satu prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pagi Selasa.

Kira-kira pukul 9.45 pagi, Nik Nazmi dan Imaan yang merupakan seorang doktor sah bercerai talak satu selepas Nik Nazmi melafazkan penceraian dihadapan Hakim Zaim Md Yudin.

Zaim merekodkan penceraian tersebut dalam kamarnya yang dihadiri Nik Nazmi selaku plaintif dan peguamnya Normawaddah Ramli manakala Imaan selaku responden hadir bersama peguamnya Fadiah Nor.

Kedua-dua pihak turut ditemani ahli keluarga masing-masing.

Nik Nazmi, 37, memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Imaan, 36, pada 30 Mei lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Dalam permohonan sama, mahkamah turut merekodkan perintah persetujuan pasangan itu berkaitan nafkah anak, hak jagaan anak, harta sepencarian, mutaah, eddah dan hibah.

Pasangan itu bernikah pada 7 Ogos 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Sementara itu mahkamah memberikan hak jagaan anak mereka Nik Ilhan Nik Nazmi, 8, kepada Imaan manakala Nik Nazmi mendapat hak lawatan dan bermalam.

Dalam pada itu, Nik Nazmi melalui satu kenyataan berkata beliau dan Imaan telah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

"Saya bersyukur dengan perkahwinan yang pernah kami miliki, juga sokongan dari keluarga dan rakan-rakan yang diberikan kepada kami.

"Saya ingin memohon maaf atas kesakitan atau kesedihan yang dialami oleh mana-mana pihak, terutamanya keluarga kami," katanya.

Nik Nazmi berkata mereka akan fokus terhadap kegembiraan dan kesejahteraan anak mereka dan kami komited untuk membesarkannya bersama-sama.

"Saya minta semua pihak menghormati privasi kami pada waktu ini. Tiada kenyataan lain yang akan dikeluarkan berkenaan isu ini," katanya. - Sinar Harian

Nik Nazmi, bercerai

Artikel Lain