suria

30 wanita hanya berseluar dalam ‘bermotivasi’ ditahan

Sekumpulan peserta dengan sebahagiannya menanggalkan pakaian sehingga hanya berseluar dalam.

INSIDEN yang pernah berlaku pada 2017 nampaknya berulang lagi, apabila sekumpulan peserta menanggalkan pakaian mereka di Bukit Tinggi semasa terlibat dalam permainan motivasi.

Jika insiden sebelum ini membabitkan sekumpulan lelaki, kali ini sekumpulan wanita pula menanggalkan pakaian mereka sehingga hanya berseluar dalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, siasatan awal mendapati aktiviti tersebut dianjurkan oleh spa kecantikan yang mempunyai cawangan di Johor dan Kuala Lumpur.

Menurut beliau, ia melibatkan penyertaan kira-kira 80 wanita tempatan.

Tambah Othman, kesemua peserta menginap di resort di Bukit Tinggi, Bentong, dari 18 Mac sehingga 20 Mac.

"Kita mendapati semasa insiden tersebut, segelintir peserta hanya memakai seluar dalam mereka semasa melakukan aktiviti. 

"Penduduk yang menasihati mereka mengesahkan peserta tidak berbogel," katanya.

Susulan kejadian itu, Othman berkata, penduduk membuat laporan polis dan polis menahan 30 wanita serta empat lelaki, di mana kesemua mereka dari spa cawangan Johor.

"Kumpulan peserta dari cawangan Kuala Lumpur balik lebih awal. Kita nasihatkan mereka supaya tampil ke ibu pejabat polis Bentong bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

Gambar-gambar sekumpulan wanita berbaris menggunakan pakaian mereka, dikongsi di Facebook.

Pada 2017, seramai 23 remaja mengaku bersalah kerana berkelakuan tidak senonoh selepas mereka menyertai satu permainan dinamakan "All Out".

Kumpulan lelaki terbabit menanggalkan pakaian mereka bagi membentuk barisan panjang, sehingga kesemua mereka akhirnya berbogel. - The Star

telanjang

Artikel Lain