suria

‘Kod pakaian’ DUN Selangor bukan arahan seksis - Speaker

SPEAKER Dewan Undangan Negeri, Ng Suee Lim berkata, isu kod pakaian membabitkan wakil rakyat Bukit Lanjan, Elizabeth Wong bukan serangan peribadi mahupun serangan terhadap wanita.

Suee Lim berkata, teguran beliau lebih kepada cubaan untuk membawa perintah dan etika dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding cubaan memberitahu mengenai apa yang seharusnya dipakai oleh wakil rakyat wanita.

"Janganlah kita memutarbelitkan keadaan seolah-olah ia seperti prejudis terhadap jantina. Ia sebenarnya lebih kepada mendisiplinkan wakil rakyat tanpa mengira jantina," tambahnya.

Suee Lim berkata, ia bukan pertama beliau memberi teguran kepada wakil rakyat mengenai pilihan pemakaian mereka, dengan menambah telah menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Mohd Sany Hamzah sebelum ini.

Menurutnya, beliau pada Selasa memutuskan untuk setiap wakil rakyat memakai kot berwarna gelap semasa sidang DUN.

Suee Lim turut memberitahu bahawa beliau akan memasukkan terma 'kot berwarna gelap' pada masa akan datang bagi pemakaian dalam sidang DUN.

Beliau berkata demikian selepas kenyataan Elizabeth dalam Malaysiakini, yang mendakwa Suee Lim mengkritik pemilihan pakaiannya dalam sidang DUN pada Selasa.

Elizabeth berpakaian kot putih, yang pernah dipakainya banyak kali sebelum ini.

Dalam kenyataannya, Elizabeth berkata, pemilihan kot tersebut tidak seharusnya menjadi satu isu. - The Star


Artikel Lain