suria

Sisa toksik: Data satelit kesan 46 lokasi berpotensi pembuangan haram di Pasir Gudang

Pasukan HazMat (Bahan Berbahaya) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan pemeriksaan terhadap tong-tong biru yang ditemui penduduk di Sungai Sembilang berhampiran Loji Kumbahan Tanjung Puteri dekat Pasir Gudang, Johor pada Isnin lalu. Foto Bernama

DATA satelit menunjukkan kira-kira 46 lokasi berpotensi bagi pembuangan haram di Pasir Gudang, Johor, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, ia merupakan salah satu penemuan oleh jawatankuasa saintifik yang dibentuk untuk meneliti isu pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim pada 7 Mac lalu.

"Jawatankuasa ini menggunakan data satelit untuk melihat seluruh kawasan Pasir Gudang, bagi mengenal pasti kemungkinan lokasi pembuangan haram.

"Kita berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan dengan membersihkan lokasi yang dikenal pasti," katanya, sambil menambah bahawa kementerian akan menyediakan senarai itu kepada pihak berkaitan tidak lama lagi.

Bee Yin berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat mengenai insiden pembuangan sisa toksik di Kota Iskandar di Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.

Dilaporkan sisa toksik dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, sehingga menjejaskan kesihatan lebih 4,000 orang.

Selain Sungai Kim Kim, pihak berkuasa turut menemui tapak pembuangan di Sungai Masai dan Sungai Semilang. - The Star

Artikel Lain