suria

“Yang lompat parti tu macam katak, monyet dan lotong” – Bung Moktar

Bung Moktar.

AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin melabelkan wakil rakyat yang lompat parti sebagai 'katak, monyet dan lotong'.

Beliau menggesa kerajaan meluluskan akta berkaitan anti lompat parti, bagi menangani amalan itu.

"Amalan ini hanya berlaku di Malaysia. Ini adalah senario biasa, terutama selepas pilihan raya umum.

"Saya fikir Parlimen mesti mempunyai undang-undang untuk menanganinya," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agong bagi pada mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen keempat belas di Dewan Rakyat pada Rabu.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu mendakwa mereka yang melompat parti mempunyai agenda peribadi.

"Mereka yang lompat parti tu macam katak, monyet dan lotong (gibbon)," katanya.

Bung berkata, mereka yang keluar parti dengan cara sedemikian juga tidak mempunyai pegangan.

"Orang tua saya pernah berkata, kamu boleh melakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi jangan gadai maruah," tambahnya.

Beliau turut mengatakan bahawa politik tanpa prinsip akan memusnahkan negara.

Sembilan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dan lima ahli Parlimen Umno meninggalkan Umno, dengan mengatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.

Empat ahli Parlimen Umno Sabah turut menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baru-baru ini. - The Star

Bung Moktar

Artikel Lain