Kebakaran tahfiz: Mangsa meninggal dunia sebelum terbakar disambar api - Pakar Patologi - Semasa | mStar

Kebakaran tahfiz: Mangsa meninggal dunia sebelum terbakar disambar api - Pakar Patologi

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes dua remaja yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, diberitahu bahawa mangsa dalam tragedi menyayat hati itu telah meninggal dunia sebelum terbakar disambar api kerana lemas terhidu asap kebakaran.

Pakar Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng berkata mangsa didapati telah terhidu asap daripada api kebakaran yang menyebabkan mereka lemas dan mati sebelum terbakar.

“Terdapat jelaga pada saluran pernafasan mangsa-mangsa yang menunjukkan mereka terhidu asap kebakaran,” katanya ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, Jumaat.

Kepada soalan Azman mengenai anggaran masa mangsa meninggal dunia selepas menghidu asap kebakaran, saksi pendakwaan ke-59 itu berkata:“Sangat cepat”.

Terdahulu Dr Siew berkata beliau telah melakukan bedah siasat ke atas enam daripada 23 mayat mangsa dan mendapati keenam-enam mayat itu dalam keadaan rentung.

Dr Siew adalah antara empat pakar forensik yang ditugaskan untuk melakukan bedah siasat dan mengambil spesimen daripada mangsa kebakaran pusat itu.

Saksi itu berkata pemeriksaan ke atas mayat itu juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain ditemui kecuali kecederaan akibat kebakaran.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pada prosiding Jumaat, kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar. Perbicaraan bersambung 3 April. -  BERNAMA

tahfiz , kebakaran

Artikel Sebelum

RON95, RON97 naik 10 sen

Artikel Berikut

Lebih Artikel