Polis buru kumpulan lelaki cuba samun di Bukit Kuchai - Semasa | mStar

Polis buru kumpulan lelaki cuba samun di Bukit Kuchai

POLIS sedang mengenal pasti kumpulan lelaki yang dipercayai cuba melakukan samun di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Serdang dekat Kuala Lumpur petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata dalam kejadian kira-kira 4.05 petang itu, kumpulan yang terdiri daripada kira-kira tujuh lelaki dengan menaiki empat motosikal dilihat berlegar-legar di kawasan perumahan itu sebelum dua daripada mereka memasuki sebuah rumah dengan bersenjatakan parang.

“Ketika kejadian, penghuni rumah iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mahu keluar rumah sebelum tiba-tiba dua suspek itu berlari ke arahnya dan memasuki perkarangan tempat letak kereta.

“Penghuni rumah itu segera melarikan diri ke dalam rumah dan bertindak menutup serta mengunci pintu kayu hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu bertindak mengetuk pintu kayu dengan menggunakan parang lalu memecahkan cermin pada bahagian tepi rumah serta turut membocorkan tayar kereta jenis Suzuki Swift milik mangsa.

Ismadi berkata suspek kemudian melarikan diri setelah mangsa dan keluarganya menjerit meminta tolong.

Katanya siasatan lanjut masih dilakukan dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek.

“Tiada kecederaan dialami pengadu dan tindakan mengesan suspek kini giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan samun.

Beberapa gambar dan video rakaman CCTV itu mula tular di laman sosial sejak Khamis. - BERNAMA

samun , Bukit Kuchai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel