suria

Kecederaan berganda, limpa pecah punca mangsa dera meninggal

Jenazah Muhammad Hafiz dipangku oleh anggota keluarga yang menuntut mayat di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas menjalani proses bedah siasat pada Khamis. FotoBERNAMA

KECEDERAAN berganda di kepala dan keadaan limpa yang pecah menjadi punca kematian kanak-kanak lelaki lima tahun mangsa dera, yang dipercayai dilakukan oleh bapa tiri dan ibu kandungnya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nayan, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada Khamis.

“Jenazah mangsa telah diserahkan kepada anggota keluarga terdekat yang lain pada pukul 4.15 petang Khamis untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Rompin,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media malam Khamis.

Dalam kejadian 4 petang Rabu, mangsa Muhammad Hafiz Abdullah, 5, meninggal dunia ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan, dipercayai menjadi mangsa dera bapa tiri dan ibunya.

Osman dalam kenyataan sebelum ini berkata pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baharu di dada, kesan cucuhan api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baharu di bahagian kening kanan.

Hasil siasatan awal yang dilakukan, bapa tiri mangsa yang tinggal di Kampung Batu Balik, Pekan dan merupakan seorang penoreh getah, mengaku ada memukul kanak-kanak itu pada hari kejadian.

Berikutan itu, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

 

penderaan, limpa

Artikel Lain