suria

Ibu pemuda dikhuatiri lemas setelah selamat empat sekeluarga harap anak ditemui segera

Operasi mencari Abdul Bari sedang giat dijalankan.

"SAYA reda dengan apa yang berlaku dan berdoa semoga Bari dijumpai dengan segera."

Harapan itu diluahkan Masitah Awang, 60, ibu kepada Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu, berdekatan Pulau Warisan, dekat Kuala Terengganu, malam Jumaat.

Abdul Bari dipercayai hilang selepas cuba menyelamatkan empat sekeluarga yang nyaris lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka tergelongsor sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut.

Difahamkan ketika kejadian pukul 9.30 malam itu mangsa sedang memancing di kawasan berdekatan bersama beberapa orang rakan yang lain.

Kejadian itu turut dibantu empat orang awam yang lain bagaimanapun mereka semua selamat naik ke darat.

Masitah ketika ditanya pemberita sama ada anak ketiga daripada lapan beradik itu bersikap ganjil sebelum kejadian, beliau berkata tiada kejadian pelik.

Bagaimanapun kata Masitah, anaknya itu ada meminta kebenaran daripadanya untuk keluar memancing bersama rakannya kira-kira pukul 3 petang Jumaat.

"Dia jenis yang suka bergurau dengan adik beradik... anak yang baik... nak kata bangga dengan tindakan dia semalam (Jumaat) tu tidaklah, tapi dia yakin boleh bantu orang," katanya sebak. - BERNAMA

lemas, Sungai Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Lain