suria

MAHB tolak tawaran mediasi AirAsia

Gambar hiasan

AIRASIA mendakwa bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menolak tawaran mediasi syarikat tersebut melalui surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu.

Syarikat penerbangan tersebut berkata, dalam usaha untuk menyelesaikan pertikaian antara dua pihak berkaitan caj perkhidmatan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pihaknya telah mencadangkan mediasi kepada MAHB.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbandingan caj KLIA2 dengan terminal skala penuh adalah salah - AirAsia selar MAHB

"Kami kesal MAHB telah menolak cadangan AirAsia untuk menyelesaikan isu-isu yang belum selesai di antara kami melalui mediasi, terutamanya selepas kenyataan MAHB baru-baru ini bahawa mereka 'yakin bahawa perkara-perkara ini boleh dan akan diselesaikan'.

"Kami akan mendapatkan panduan dari Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk langkah seterusnya bagi menangani keadaan ini.

"Bagaimanapun, kami berhak untuk mengambil segala tindakan yang perlu untuk melindungi kepentingan penumpang dan pemegang saham kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Pada bulan lalu, syarikat penerbangan tambang rendah itu meminta lebih daripada RM400 juta dalam tuntutan balas terhadap MAHB sebagai reaksi ke atas saman yang difailkan oleh pengendali lapangan terbang tersebut berhubung cukai lapangan terbang.

Tuntutan balas itu adalah bagi menanggung kerugian dan kerosakan yang dialami oleh AirAsia dan syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd yang berpunca daripada gangguan operasi di klia2.

AirAsia mendakwa pihaknya bersetuju untuk berpindah ke klia2 selepas kerajaan membatalkan pelan untuk membina terminal kos rendah sendiri di Labu, Negeri Sembilan pada 2008 walaupun ia telah diluluskan pada awalnya.

Susulan itu, MAHB mendakawa bahawa pihaknya boleh membina terminal yang hampir sama dengan KLIA dengan kemudahan dan caj yang sama di Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT).

Cukai lapangan terbang di klia2 dinaikkan kepada RM73 daripada RM50 untuk penumpang antarabangsa bukan dari negara Asean.

Penumpang domestik tidak terlepas daripada mengalami kenaikan itu dan kini perlu membayar RM11 berbanding RM6 sebelum ini. - The Star

AirAsia, MAHB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Agong berkenan ziarah Azmin

Artikel Lain