Perbandingan caj KLIA2 dengan terminal skala penuh adalah salah - AirAsia selar MAHB - Semasa | mStar

Perbandingan caj KLIA2 dengan terminal skala penuh adalah salah - AirAsia selar MAHB

Gambar hiasan

TINDAKAN Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang membandingkan caj KLIA2 dengan terminal berskala penuh di negara-negara Asia yang lain adalah salah, kata AirAsia Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata KLIA2 dianggap sebagai terminal kos rendah seperti yang dinyatakan di laman web kedua-dua MAHB dan Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun katanya, MAHB menegaskan untuk mengenakan caj yang sama bagi KLIA2 dan KLIA yang merupakan sebuah terminal perkhidmatan penuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu tikus, sekarang lebah pula! Tony sindir KLIA2 macam zoo

"Kemudahan dan tahap perkhidmatan di KLIA2 adalah lebih rendah daripada yang disediakan di KLIA, oleh itu kadar tersebut tidak boleh sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Riad memberi maklum balas terhadap kenyataan MAHB tentang rasional untuk menyamakan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) di semua lapangan terbang adalah mekanisme berasaskan kos yang lebih diterima di peringkat antarabangsa.

Ia selaras dengan prinsip yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

MAHB juga berkata, kadar PSC adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

"Pendirian kami tetap ada dua tahap perkhidmatan yang berbeza di KLIA (premium) dan KLIA2 (kos rendah), jadi keputusan untuk mengenakan cukai lapangan terbang yang sama pada asasnya salah dan bertentangan dengan penetapan harga tanpa diskriminasi," tambah Riad.

Beliau berkata, kerajaan telah lama menyatakan bahawa ia berhasrat untuk meletakkan negara ini sebagai hab tambang rendah untuk mempromosikan pelancongan sebagai sektor ekonomi utama. - The Star

KLIA2

Artikel Lain