Khairul Dzaimee dilantik KP Imigresen - Semasa | mStar

Khairul Dzaimee dilantik KP Imigresen

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu berkuat kuasa Isnin.

Indera Khairul Dzaimee, 47, menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara daripada jawatan itu pada 31 Disember lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata Indera Khairul Dzaimee berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan keimigresenan.

Katanya pemegang Sarjana dalam jurusan Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing dan hal ehwal pendaftaran negara semasa menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN pada Julai 2018 hingga hari ini.

Indera Khairul Dzaimee memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ke KDN.

Alwi turut mengumumkan Datuk Jamil Rakon dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN selepas mengambil kira pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam serta pembangunan yang diperlukan bagi memperkasa tadbir urus kementerian.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Australian Institute of Criminology Canberra, Jamil memulakan kerjayanya di Kementerian Pertahanan pada Disember 1992 selain berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan.

Alwi yakin kepakaran dan pengalaman kedua-dua pegawai itu dapat memperkukuhkan pentadbiran KDN dan Jabatan Imigresen.-- Bernama   



Indera Khairul , Imigresen

Lebih Artikel

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta