7 UTC dibuka hingga 10 malam - Semasa | mStar

7 UTC dibuka hingga 10 malam

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan akan melaksanakan waktu operasi baharu Pusat Transformasi Bandar (UTC) bermula 22 Jan ini sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini, berkata tiga UTC - Shah Alam, Keramat dan Seremban akan beroperasi dari 1 tengah hari sehingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis dan dari 2.45 petang hingga 8 malam pada Jumaat.

Pada Sabtu dan Ahad, ketiga-tiga UTC ini akan beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang.

Bagi empat UTC lagi iaitu Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuala Terengganu, waktu operasi adalah dari 1 tengah hari sehingga 10 malam pada Ahad hingga Khamis dan dari 8 pagi sehingga 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.

Sementara itu, bagi 15 UTC yang lain yang beroperasi di seluruh negara, waktu operasi adalah dari 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Kementerian berkata waktu operasi baharu berkenaan adalah berdasarkan maklum balas orang ramai yang memohon supaya operasi UTC di beberapa lokasi tertentu dibuka sehingga 10 malam.

"Kementerian telah mengkaji kesesuaian UTC yang boleh melaksanakan waktu operasi tersebut dan menetapkan tujuh buah UTC yang terletak di dalam pusat beli-belah untuk dilewatkan waktu operasinya," katanya.

Katanya UTC kekal beroperasi selama tujuh hari seminggu kecuali cuti umum bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

"Waktu operasi UTC akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan permintaan rakyat dipenuhi dan pada masa yang sama perbelanjaan kerajaan dibuat secara efisien tanpa pembaziran waktu dan tenaga," katanya.- Bernama


UTC , Shah Alam

Lebih Artikel

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta