Imam berusia diberhentikan untuk beri peluang pelapis muda - Semasa | mStar

Imam berusia diberhentikan untuk beri peluang pelapis muda

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

KANGAR: Pemberhentian imam-imam lama di Perlis yang berumur melebihi 60 tahun untuk digantikan dengan imam baharu bertujuan meremajakan masjid di seluruh Perlis, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurutnya, ada imam berumur lewat 90-an tetapi enggan melepaskan jawatan supaya orang lebih muda dapat menggantikan mereka.

Imam-imam terbabit diberhentikan bukan kerana mereka tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh seperti didakwa pihak tertentu, katanya.

Mohd Asri membuat penjelasan itu dalam siri ceramah mingguannya di Masjid Alwi di sini sebagai reaksi terhadap isu hangat perikutan pemecatan dan pertukaran imam-imam di negeri ini.

Sebuah portal dalam talian pada Khamis melaporkan 25 orang imam dipecat dan lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat yang berkuat kuasa Selasa lepas.

Mohd Asri bagaimanapun tidak menyebut jumlah sebenar imam yang diberhentikan atau ditukarkan tetapi berkata tindakan itu diambil kerana ada antara mereka tidak mampu membaca ayat-ayat al-Quran dalam solat dengan sempurna dan kemudian dikaitkan dengan disiplin menjalankan tugas.

Katanya ada juga imam yang tidak mematuhi kehendak tugas termasuk tidak menghadiri kursus, tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan dan membawa penceramah luar dan menyentuh politik dalam ceramah mereka di masjid.

“Semua ini direkod oleh pegawai-pegawai jabatan. Kita tidak ambil tindakan sesuka hati,” katanya sambil meminta imam-imam terbabit menerima hakikat mereka tidak semestinya bertugas hingga akhir hayat.

Mohd Asri berkata ramai anak-anak muda yang tamat pengajian tahfiz dan layak menjadi imam harus diberi peluang untuk mengisi tempat imam-imam yang diberhentikan itu.-- BERNAMA

Artikel Lain