suria

Tak benar, tiada asteroid hentam bumi 1 Februari - Angkasa

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Asteroid tidak akan menghentam bumi pada 1 Februari ini, menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa).

"Kami ingin menegaskan bahawa ia adalah berita palsu," kata agensi itu.

Angkasa dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan dan reaksi berhubung laporan berita mengenai asteroid akan menghentam bumi pada tarikh berkenaan.

Menurut agensi itu, asteroid yang dimaksudkan itu diberi gelaran ‘2002NT7' telah dijumpai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) pada tahun 2002.

NASA telah membuat pengiraan berdasarkan teori astronomi bahawa asteroid tersebut akan  menghentam bumi pada 1 Februari ini dengan kebarangkalian kurang daripada satu peratus.

"Bagaimanapun, dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid tersebut  menghentam bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil dan Angkasa juga mengesahkan perkara ini hasil semakan dan penelitian,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu Angkasa mengingatkan orang ramai agar tidak bimbang dan tidak terpengaruh dengan berita yang tular dan lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat. - The Star


NASA, Angkasa, asteroid

Artikel Lain