Gadis Melaka dinobat gelaran Miss Malaysia Kebaya 2018 - Semasa | mStar

Gadis Melaka dinobat gelaran Miss Malaysia Kebaya 2018

Rashidi memakaikan mahkota kepada Aini Sophia kerana dinobatkan sebagai Miss Malaysia Kebaya 2018.

KUALA LUMPUR: Aini Sophi Shamsol Zainal,18, dari Melaka merangkul Anugerah Miss Malaysia Kebaya 2018 pada Grand Final Miss and Mrs Malaysia Kebaya 2018 malam ini.

Beliau turut memenangi Anugerah Popular Kebaya 2018 dan juga Anugerah Fotogenik Kebaya 2018.

Bagi Anugerah Mrs Malaysia Kebaya 2018 pula dimenangi oleh Nur Hazwani Che Rahim, 30 dari Kuala Lumpur.  

Sepuluh finalis daripada pelbagai latar belakang berjaya ke peringkat akhir kategori Miss Malaysia Kebaya  2018 manakala tujuh orang finalis bagi kategori Mrs Malaysia Kebaya 2018.

Finalis-finalis ini dinilai berdasarkan reka bentuk baju, ucapan, cara dan lenggok berjalan serta karakter di atas pentas oleh juri-juri berpengalaman.

Anugerah yang masuk tahun keenam penganjurannya itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Rashidi Hasbullah.

Terdahulu, Rashidi dalam ucapannya berkata kementeriannya menjangkakan ketibaan 30 juta pelancong ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 juga, Rashidi berkata baju kebaya juga bakal diangkat sebagai pakaian tradisi utama untuk diperkenalkan ke peringkat antarabangsa. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Zainuddin Maidin meninggal dunia

Artikel Lain