suria

MCA mahu BN bubar - Ka Siong

Wee Ka Siong. Foto SAM THAM

KUALA LUMPUR: MCA mahu Barisan Nasional (BN) dibubarkan, kata presiden parti, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, jawatankuasa pusat parti itu telah diberi kuasa untuk membuka jalan bagi pembubaran gabungan tersebut.

"Perhimpunan Agung memberi kuasa kepada jawatankuasa pusat untuk membuka jalan bagi pembubaran Barisan Nasional dan menjalin perikatan yang efektif," kata Ka Siong pada sidang media pada penutup perhimpunan agung tahunan ke-65 di Wisma MCA di sini, petang Ahad.

Umno, MCA dan MIC membentuk parti Perikatan dan berjuang serta memperoleh kemerdekaan negara pada 1957.

Parti Perikatan itu dinamakan semula sebagai Barisan Nasional pada 1973 dengan penambahan parti-parti lain dalam gabungan itu.

Ka Siong berkata, kesepakatan oleh tiga parti utama - Umno, MCA dan MIC diperlukan untuk pembubaran itu.

MCA yang ditubuhkan selama 69 tahun merupakan parti komponen BN kedua terbesar selepas Umno.

Gabungan itu memerintah negara sejak kemerdekaan, hilang kuasa selepas ditewaskan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Pada PRU-14 yang lalu, BN dengan 13 parti komponen kini tinggal empat iaitu Umno, MCA, MIC dan myPPP. - The Star

BN, MCA, Wee Ka Siong

Artikel Sebelum

Artikel Lain