suria

Bekas KPN diarahkan bela diri terhadap tuntutan Lim Kit Siang

Mohammed Hanif (kiri) diminta mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan Kit Siang (kanan).

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar diarahkan untuk mengemukakan pembelaan terhadap tindakan guaman oleh Lim Kit Siang berhubung ucapan yang dibuat oleh beliau di sebuah konvensyen pada dua bulan lalu.

Kata peguam Mohammed Hanif, Datuk Shaharudin Ali, mahkamah mengarahkan kliennya memfailkan pembelaan bagi membalas dakwaan itu pada 5 Disember.

Shaharudin berkata, Kit Siang turut dimaklumkan untuk mengemukakan maklum balas pada 19 Disember.

"Mahkamah menetapkan 20 Disember untuk pengurusan kes seterusnya," beliau berkata kepada pemberita selepas bertemu timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi, Siti Norhidayah Mohd Noor pada Rabu.

Dalam kenyataannya yang difailkan pada 17 Oktober, Kit Siang mendakwa kenyataan dibuat Mohammed Hanif bermaksud beliau bertanggungjawab dan berniat untuk mengarahkan DAP untuk memecahkan Semenanjung Malaysia kepada dua kaum, dengan Pantai Barat untuk orang China dan Pantai Timur untuk Melayu.

Kit Siang mendakwa kata-kata tersebut yang disampaikan di sebuah konvensyen di Universiti Teknologi Mara Shah Alam pada 6 September telah mencalarkan reputasi beliau sebagai seorang ahli Parlimen.

Kit Siang yang merupakan ahli Parlimen Puteri di Johor berkata, kenyataan Mohammed Hanif disiarkan di Sinar Harian dalam laporan bertajuk Tun Hanif buat pendedahan DAP, PAS.

Beliau turut mendakwa, defendan secara salah dan berniat jahat telah menyebabkan kenyataan itu diterbitkan di Malaysiakini dan Free Malaysia Today pada 6 September dan pada keesokan harinya.

Kit Siang yang menamakan Mohammed Hanif sebagai satu-satunya defendan, menuntut permohonan maaf dan penarikan semula kata-kata itu serta menghalang defendan mengulangi kenyataan berunsur fitnah tersebut. - The Star

Mohammed Hanif, Lim Kit Siang

Artikel Lain