suria

Kolam renang hotel tidak sesuai untuk pelajar sekolah belajar berenang

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Idea untuk menggunakan kolam renang hotel untuk tujuan belajar berenang bukanlah satu cadangan yang baik, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yap Lip Seng berkata keselamatan adalah kebimbangan utama apabila ia membabitkan akses sekolah ke kolam renang hotel.

"Kebanyakannya, jika tidak semua, kolam renang di hotel bertujuan untuk aktiviti santai.

"Ini bermakna ia tidak dibina dengan saiz, kedalaman dan reka bentuk yang diperlukan untuk pelajaran renang, terutamanya bukan untuk kumpulan kanak-kanak," katanya kepada The Star.

"Walaupun ada hotel yang kini telah menyediakan kemudahan mereka untuk aktiviti sekolah terpilih secara 'ad hoc' sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), kebanyakan kolam renang hotel tidak direka untuk pelajaran renang, terutamanya untuk kanak-kanak."

Lip Seng mengulas cadangan Menteri Pendidikan, cadangan Dr Maszlee Malik bahawa hotel membenarkan sekolah menggunakan kolam renang sebagai sebahagian daripada usaha CSR mereka.

Lip Seng menambah bahawa terdapat juga kebimbangan aksesibiliti kerana kemudahan hotel dibayar oleh pelancong dan oleh itu ia didedikasikan untuk kegunaan eksklusif mereka.

"Daripada sudut pandangan pelancongan, ia boleh menimbulkan kesan negatif kepada pelancong," katanya.

kolam renang

Artikel Lain