suria

Beli piza dapat ' hadiah' istimewa

Airina terkejut menerima piza bersama 'pakej istimewa'

PETALING JAYA: Beli piza tapi dapat sekali 'pakej istimewa'.

Kedengaran pelik tapi itulah realiti yang dilalui seorang gadis yang memesan dua keping piza atas talian pada Selasa lalu.

Sebaik sahaja menerima piza tersebut yang dihantar ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah, Airina Atasya Mohd Rizal pelik apabila salah satu kotak piza yang diterimanya lebih berat.

"Saya pesan dua keping piza secara online. Sampai-sampai je, saya pelik sebab satu kotak piza berat sikit, satu lagi ringan. Boleh rasa beza kedua-dua kotak itu," katanya kepada mStar Online.

Sebaik sahaja membuka kotak tersebut, Airina berkata dia terkejut apabila sekeping piza yang diterimanya didatangkan sekali dengan 'piza screen'.

"Mula-mula tak tahu tu benda apa. Jadi saya buat tweet mengenainya. Lepas tu barulah saya tahu benda tu adalah 'piza screen'," katanya.

Gambar yang dimuatnaik Airina tular di Twitter sejak Selasa lalu.

Gadis berusia 18 tahun itu tidak menyangka gambar piza bersama 'pakej istimewa' yang dimuat naik di Twitter menjadi tular.

"Saya beritahu ayah ni benda apa. Ayah cakap kita tunggu dulu depa (mereka) balas apa. Tak lama kemudian syarikat piza tersebut hantar mesej dekat Twitter saya.

"Twitter handler tu beritahu saya benda tu adalah 'piza screen'. Lepas tu ayah kata tak apa, kita pulangkan semula," katanya.

Airina Atasya berkata syarikat piza tersebut turut memohon maaf di atas kecuaian kakitangannya.

"Mereka mohon maaf dan berjanji kecuaian tersebut tidak akan berulang lagi. Mereka juga maklumkan akan datang rumah untuk ambil benda tersebut.

"Tapi sampai sekarang depa tak datang ambil. Saya pun tak kisah, depa boleh datang bila-bila masa kerana benda itu masih lagi saya simpan," katanya.

Respons balas pihak @DominosMY mengenai pertanyaan benda yang diterima Airina.

Gambar yang dimuatnaik Airina Atasya di Twitter dengan kapsyen:"Hi @DominosMY!!! Saya nak tanya ni... benda ni nak kena pulangkan tak?" diulang kicau netizen lebih 10,000 kali dan mendapat lebih 5,000 tanda suka.

Posting tersebut turut mendapat perhatian @DominosMy.

"Haha! Alamak... boleh terbagi pula. Tolong slide into DM please and share info & contact. Kami akan contact store & rider yang hantar tu nanti. TQ ye sebab beritahu & sorry kalau menyusahkan."

Rata-rata netizen turut terhibur dengan tweet tersebut.

piza

Artikel Sebelum

Artikel Lain