suria

Sudah terlambat minta Tun M, pemimpin PPBM kembali semula kepada Umno

KUALA LUMPUR: Sudah terlambat untuk mempelawa kami menyertai semula Umno, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa yang mempelawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang lain untuk kembali kepada Umno.

"Saya fikir itu mungkin satu pelawaan nakal, dan sebenarnya tak berapa logik.

"Bayangkan nak pelawa seorang yang sudah pun memegang jawatan Perdana Menteri merangkap pengerusi parti kerajaan untuk masuk ke parti pembangkang.

"Dulu saya dipecat daripada parti manakala, Dr Mahathir keluar sendiri kerana memang kami tahu dari awal dulu Umno bermasalah.

"Jadi ketika kita dah berjaya untuk menumbangkan kerajaan BN, sekarang ini baru nak pelawa...saya ingat dah terlambat," katanya.

Terdahulu, Annuar dilaporkan mempelawa Dr Mahathir supaya kembali ke pangkuan Umno kerana ramai ahli parti itu yang masih menghormatinya.

"Sesungguhnya amat ramai ahli Umno, termasuk saya sendiri, amat sayang dan menghormati Tun (Dr Mahathir) dengan hati yang tulus ikhlas.

"Insya-Allah, Umno itu tidak akan mati. Apa yang buruk, kita perbaiki bersama," katanya.

Umno, PPBM

Artikel Lain