suria

Padah curi betik!

TAIPING: Gara-gara menyamun seguni betik dan mencederakan pemilik kebun di Kampung Pak Dollah, 9 Oktober lalu, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Tertuduh, Zainal Ali,43, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Mengikut pertuduhan, Zainal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Ng Chai Hock,58, dengan menggunakan kayu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kebun buah-buahan di Lorong 6, Kampung Pak Dollah, Kamunting pada jam 8 malam, 9 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat.

Tertuduh kemudiannya dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan itu dan mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 17 Oktober lalu.

Pertuduhan dijalankan oleh pegawai pendakwaan, Siti Nor Rasyidah M Nadzri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Biro Guaman Malaysia(YBGK), T Selva.

Pada 10 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pemilik kebun buah-buahan dicederakan seorang lelaki yang melakukan samun terhadap seguni buah betiknya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan susulan. - Sinar Harian

betik, curi

Artikel Sebelum

"Terima kasih kerana mengheret kami"

Artikel Berikut

Artikel Lain