suria

UPM ke-34 terbaik Asia, nombor 2 terbaik dalam negara di belakang UM

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) mengukuhkan kedudukannya apabila berada di kedudukan 34 universiti terbaik di Asia dalam 'QS Asia Universiti Ranking 2019' dengan membuat lonjakan dua anak tangga.

UPM juga mengekalkan kedudukannya sebagai universiti kedua terbaik negara ini selepas Universiti Malaya dalam ranking itu sejak tiga tahun berturut-turut.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris berkata pencapaian terbaik UPM dalam ranking itu adalah kecemerlangan dalam pengantarabangsaan.

"Kami mencapai markah yang tinggi untuk indikator pertukaran pelajar (inbound dan outbound). Skor lain yang lebih tinggi ialah petunjuk pengantarabangsaan seperti jaringan penyelidikan Antarabangsa, Fakulti Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa.

"Inisiatif berterusan UPM meningkatkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program telah menghasilkan peningkatan dalam petunjuk pengantarabangsaan," katanya.

Senarai 10 universiti terbaik di Malaysia.

Aini berkata komitmen berterusan UPM memperkukuhkan jaringan antarabangsa telah menarik pelajar, penyelidik, dan kakitangan akademik antarabangsa.

Beliau berkata penambahbaikan ranking juga berikutan usaha dan sokongan berterusan pasukan staf pelbagai peringkat mengadaptasikan budaya kecemerlangan, kemampanan dan integriti di UPM.

Aini berkata UPM akan memfokuskan beberapa inisiatif seperti berikut:

a. Mengukuhkan kerjasama penyelidikan dengan industri, masyarakat dan rakan kongsi antarabangsa. Meningkatkan bilangan rakan kongsi kebangsaan dan antarabangsa.

b. Meningkatkan program penyelidikan dan pembangunan berimpak tinggi.

c. Meningkatkan kuantiti dan kualiti penerbitan penyelidikan.

d. Menggalakkan penjenamaan universiti dan penglihatan

e. Meningkatkan persekitaran dan kemudahan pengajaran

"Prestasi dalam ranking penting kerana ranking boleh menjadi penanda aras pencapaian universiti secara global dan bermakna ke arah pendidikan tinggi yang lebih baik.

"Peningkatan tahun ini memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk pendapat dan persepsi pihak berkepentingan (pelajar, agensi kerajaan, industri, ibu bapa, orang awam dan rakan kongsi antarabangsa) yang boleh membawa kepada reputasi positif dan penjanaan pendapatan untuk UPM," katanya.

Sementara itu Universiti Teknologi Petronas (UTP) meningkat kedudukan ke tangga ke-99 dalam senarai, menjadikannya satu-satunya universiti swasta dalam negara dalam senarai 100 terbaik.

UTP meningkat dengan ketara dalam ranking itu setelah melonjak 92 kedudukan sejak ia bermula pada 2014.

Kedudukan ke-99 itu merupakan pencapaian tertinggi universiti dalam 'QS Asia University Rankings'. Ia berada pada tangga ke-101 dalam ranking 2018.

universiti terbaik, Asia, UPM, UM

Artikel Lain