suria

Terengganu cuti Ahad ini sempena final Piala Malaysia

Kapten pasukan Terengganu FC Tchetche Hermann Brice Kipre (kanan) bersama rakan sepasukannya menjalani sesi latihan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Padang Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengumumkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa bersempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Perak di Stadium Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan membenarkan cuti peristiwa pada 28 Okt itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor terutama keselamatan penyokong dan rakyat negeri Terengganu.

"Terengganu dalam sukan-sukan lain termasuk Sukan Malaysia (Sukma) dan bola sepak di peringkat lain menunjukkan kemajuan yang membanggakan dan kemuncaknya ialah Piala Malaysia.

"Oleh sebab itu kami mengambil keputusan untuk mengisytiharkan cuti peristiwa pada 28 Okt sama ada kalah atau menang sebagai motivasi kepada penyokong dan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengumuman awal itu juga bagi memudahkan semua pihak termasuk sekolah, agensi kerajaan dan pihak lain membuat perancangan atau perubahan tanpa mengganggu jadual mereka.

Ketika ditanya berhubung ganjaran atau insentif yang bakal diberikan kepada pasukan TFC I sekiranya berjaya membawa pulang Piala Malaysia kali ini, beliau berkata kerajaan negeri akan mengumumkan perkara itu selepas perlawanan tersebut.

"Insya-Allah akan ada khabar gembira untuk mereka (TFC I) jika berjaya, tetapi buat masa ini kita rahsiakan dulu. Apa bentuk ganjarannya pun kita akan umumkan selepas perlawanan," kata menteri besar.

Kali terakhir Terengganu menjulang Piala Malaysia ialah pada 2001 selepas menewaskan pasukan Perak 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil. -Bernama

Artikel Lain