suria

Zahid berdepan lebih 40 pertuduhan, Najib hadir beri sokongan

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pukul 9.20 pagi dengan menaiki sebuah kereta Toyota Velfire putih bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di kompleks itu bagi berdepan beberapa pertuduhan termasuklah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Najib mengenakan kemeja batik berwarna ungu dan dirakam berjalan memasuki kamar mahkamah sebelum pertuduhan dibacakan.

Dia mengambil tempat duduk di bahagian paling hadapan dalam perbicaraan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dijangka menghadapi lebih 40 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan dana yayasan berjumlah RM80 juta.

Berdasarkan senarai kes mahkamah, kes bekas timbalan perdana menteri itu, akan disebut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

Ahmad Zahid, Anggota Parlimen Bagan Datuk, akan didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan pertuduhan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan.

Ahmad Zahid akan diwakili oleh sepasukan peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik manakala Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, akan mengetuai pasukan pendakwaan.

Wartawan telah berkumpul di kompleks mahkamah seawal 6.30 pagi dan mereka beratur dalam dua baris untuk pendaftaran masuk bagi liputan prosiding dalam mahkamah dan bilik siaran video.

Mahkamah menyediakan 21 pas untuk wartawan tempatan dan luar negara memasuki mahkamah untuk prosiding kes itu dan 40 pas untuk wartawan di bilik siaran video.

Artikel Lain