Najib tanya "selepas 3 tahun, di mana pendrive itu?" - Semasa | mStar

Najib tanya "selepas 3 tahun, di mana pendrive itu?"

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tertanya-tanya mengenai 'pendrive' yang didakwa Charles Morais, adik kepada Kevin Morais mengandungi bukti kes 1MDB, SRC International dan mengapa abangnya dibunuh.

Najib berkata Charles mendakwa memiliki satu 'pendrive' yang kononnya diterima daripada Kevin dan mengandungi bukti semua kes tersebut.

"Persoalannya kini ialah di mana pendrive itu? Selepas tiga tahun ia masih tidak ditemui.

"Jika menggunakan WhatsApp atau Google Drive, tak sampai 30 minit untuk kandungan pendrive ini tiba di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Jelas Najib, tiga tahun lalu, Charles tiba-tiba muncul di Malaysia setelah bertahun-tahun tinggal di Amerika Syarikat (AS).

Tambahnya, dengan sokongan pemimpin Pakatan Harapan, Charles mengadakan sidang media dan menyatakan bahawa beliau telah membuat Surat Akuan Sumpah dan mendakwa ada padanya satu pendrive kononnya diterima daripada Kevin dan mengandungi bukti-bukti kes 1MDB, SRC International serta bukti mengapa Kevin dibunuh.

"Selepas membuat sidang media tergempar ini, Charles terus menghilangkan diri dan keluar dari Malaysia. Sama seperti kes pembunuhan Hussain Najadi, Lim Kit Siang antara orang pertama yang cuba mengaitkan saya dengan pembunuhan Kevin Morais.

"Selepas itu, Lim Kit Siang turut membuat kenyataan media yang bertajuk "Call for an international investigation into the murder of DPP Kevin Morais following the shock statutory declaration by his brother Charles who raised many disturbing questions" di mana Kit Siang mendakwa bahawa pembunuhan Kevin Morais ada kaitan dengan 1MDB/SRC," katanya.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam keadaan terikat di dalam guni  dan disimen di Jalan Subang 3, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Najib berkata selepas Kit Siang berbuat demikian, tentera dan jentera propaganda DAP pun bergerak bagi mengaitkan pembunuhan kejam Kevin dengan dirinya.

"Siapakah yang mendorong Charles Morais untuk mengupah peguam dan membuat sidang akhbarnya pada masa itu?

"Kit Siang dan DAP juga antara yang paling pantas untuk mengaitkan pembunuhan Teoh Beng Hock kepada BN dan saya.

"Tetapi sampai hari ini, saya tidak tahu apa keuntungan untuk kerajaan BN ataupun saya jika saksi yang mungkin mempunyai bukti terhadap rasuah pemimpin DAP dibunuh?," soalnya.

Najib berkata beliau membuat kenyataan tersebut kerana berharap rakyat Malaysia dapat berfikir dengan mendalam dan tidak mudah dipengaruhi aturan propaganda terancang pihak tertentu.

"Pagi ini, Lim Kit Saing mengeluarkan kenyataan lagi untuk membalas saya.

"Dia pusing-pusing ke seluruh dunia termasuk ke WSJ, Jepun, Korea Selatan, Singapura and Taiwan dan ke Amerika Syarikat tetapi tidak lagi berani untuk meneruskan panggilan beliau hari itu untuk kerajaan PH melaksanakan siasatan khas untuk kes-kes pembunuhan ini.

"Ini soal keadilan untuk nyawa empat orang, YB Kit Siang. Jangan main-main dan pusing-pusing lagi," katanya.

Najib Tun Razak , Kevin Morais

Artikel Sebelum

Mati akibat makan laksa?

Artikel Berikut

Stevie buat laporan polis terhadap Anwar

Artikel Berkaitan

Ahli perniagaan saman Najib, Rosmah

Najib dipanggil SPRM lagi hari ini

Artikel Lain