suria

Mangsa rentung daripada empat keluarga berbeza

KUALA KANGSAR: Lima individu yang rentung dalam kemalangan di Km255.3 di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora pada Sabtu dipercayai melibatkan empat keluarga berbeza.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar DSP Zahiri Hassan berkata setakat ini tiga keluarga telah tampil menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini.

Katanya maklumat mangsa yang diperoleh setakat ini ialah dua penumpang wanita dan seorang bayi lelaki selepas anggota keluarga masing-masing melakukan ujian DNA.

"Sebuah keluarga dari Shah Alam hari ini tampil dan mengesyaki saudara lelaki mereka turut berada di dalam kenderaan itu dan mereka lakukan DNA,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini Isnin.

Menurut Zahiri, kesemua sampel DNA itu akan diserahkan kepada Jabatan Kimia dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, beliau berkata polis sedang mengesan seorang lagi waris mangsa disyaki pemandu kenderaan tersebut dan siasatan menyeluruh dilakukan termasuk pemeriksaan ke atas nombor casis kenderaan berkenaan.

Dalam nahas 11.47 pagi tersebut, lima individu rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh sebuah treler.

Pemandu treler direman dua hari mulai Isnin.

Difahamkan, maklumat tiga mangsa yang diperoleh setakat ini ialah masing-masing wanita berusia 60 dan 37 tahun serta bayi lelaki berusia setahun.

Kelima-lima mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Selangor untuk menghadiri upacara keagamaan di Taiping. - BERNAMA

rentung, Terowong Menora

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mati akibat makan laksa?

Artikel Lain