Tambah baik SOP operasi khalwat - Mujahid - Semasa | mStar

Tambah baik SOP operasi khalwat - Mujahid

PETALING JAYA: Prosedur operasi standard (SOP) bagi penguatkuasaan aktiviti khalwat akan ditambah baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, penguatkuasa perlu mengikut prosedur yang ketat sebelum melakukan serbuan.

"Bukan setakat dapat maklumat dan terus serbu. Kena ingat, sekarang pun kita memang ada SOP.

"Kita sedang mengkaji untuk menambah baik agar isu penguatkuasaan perlu ada bukti kukuh. Juga harus ada alasan yang baik sama ada ia akan menjejaskan atau mengganggu ruang awam," katanya dalam sidang media, Isnin.

Menurut Mujahid, SOP sedia ada juga telah menetapkan bahawa sebarang serbuan perlu mempunyai bukti kukuh sebelum dilakukan.

"Ia bermula dengan aduan kepada penguatkuasa untuk disiasat dulu. Setelah disiasat, kena ada waran sebelum mereka pergi ketuk pintu.

"Kalau ada kes ceroboh tendang dan pecah pintu, itu bukan ikut SOP. Kalau ada, maknanya pegawai penguatkuasa dah salah guna kuasa," katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa sebarang penguatkuasaan dilakukan sekiranya sesuatu tindakan di ruang peribadi mengganggu ruang awam secara keseluruhan.

"Jika mahu kuatkuasakan sesuatu berkaitan nilai moral, perlu berhati-hati. Sama ada perbuatan itu dibuat dalam ruang peribadi atau ruang awam, itu sangat jelas.

"Apa yang kamu buat dalam ruang peribadi bukan urusan kerajaan. Tetapi jika anda sebagai seorang Islam melihat jiran melakukan perkara tidak bermoral, itu tanggungjawab anda untuk menasihatinya," katanya.

Menurut beliau, terdapat banyak cara untuk menentukan sama ada perbuatan di ruang peribadi boleh mengganggu atau menceroboh ruang awam secara awam.

"Jika tinggal di taman dan ada penghuni sebuah rumah yang dilihat berterusan buat benda tak bermoral. Keseluruhan komuniti rasa ia mengganggu anak-anak dan keluarga, jadi mereka laporkan kepada penguatkuasa.

"Penguatkuasa kena semak betul ke aduan tersebut, atau hanya seorang yang rasa terganggu. Jika buat di ruang awam tetapi tiada aduan, maka tiada yang salah dengan bidang kuasa saya," katanya. - Sinar Harian

khalwat , Mujahid Yusof Rawa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Mawi meninggal dunia