suria

Rafizi dahului Azmin di Terengganu dan Kelantan

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pertandingan jawatan timbalan presiden menerusi pengundian melibatkan lapan cabang parti di Terengganu pada Jumaat.

Menurut portal pemilihan parti itu, Rafizi mendahului dengan 1,506 undi manakala Azmin meraih 1,296 undi.

Ketua PKR Kuala Terengganu Azan Ismail pula mempertahankan jawatannya dengan 180 undi.

Azan yang juga ketua PKR negeri menewaskan dua calon, Mohd Alfaizal Amjed dan MD Shuhaimi Ismail yang memperoleh 99 dan 14 undi.

Dalam pada itu, sesi pengundian di Terengganu diganggu dengan pergaduhan kecil di Marang.

Dalam kejadian pada tengah hari itu, berlaku salah faham antara anggota parti sewaktu sesi membuang undi di Dewan Komuniti Medan Jaya.

Namun, situasi itu berjaya dileraikan oleh ahli parti yang lain.

Selain itu, Shahrin Dzulkafli memenangi jawatan Naib Ketua Cabang PKR Setiu setelah seorang lagi calon, Donia Hasan meninggal pada pukul 2.30 petang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu akibat strok.

Di Twitter, Rafizi mengumumkan kemenangannya dalam pemilihan PKR di Kelantan.

Dia mengumpul 5,211 undi, mendahului Azmin yang hanya mengumpul 4,922 undi.

Berbeza pula di Johor, Azmin memenangi pengundian di sana apabila mengalahkan Rafizi dengan margin undi sebanyak 527 undi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memperoleh 4,503 undi mengalahkan Rafizi yang mengumpul 3,976 undi.

Rafizi Ramli, Azmin Ali, PKR

Artikel Lain