suria

Anwar gembira Dr Mahathir turun berkempen

Anwar hadir dalam Majlis Ramah Mesra Warga Tentera Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Dewan Terbuka, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA)- Foto Bernama

PORT DICKSON: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau gembira apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berkunjung ke Port Dickson bagi berkempen untuknya dalam pilihan raya kecil di sini.

Anwar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) berkata kesudian Dr Mahathir itu adalah satu petanda baik, bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk seluruh rakyat Port Dickson.

“Ia penting sebab Tun Dr Mahathir ini sebagai perdana menteri daripada dulu saya ingat, saya sebagai timbalan perdana menteri, dia tidak pergi berkempen pilihan raya kecil.

“Kalau ada pilihan raya kecil dia serah kepada orang bawahannya daripada timbalan perdana menteri sehingga pemimpin bawah yang akan pergi kempen dan dia tumpu (kepada negara),” katanya ketika berucap pada majlis Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, kehadiran Dr Mahathir itu dilihat akan memberi semangat kepada pengundi Port Dickson untuk menyokong calon PH dan berharap pemimpin utama negara itu dapat memberi jaminan untuk membantu mereka.

Dr Mahathir hari ini dilaporkan berkata bahawa beliau akan turun berkempen di Port Dickson bagi membantu Anwar pada 8 Oktober ini.

Dr Mahathir selaku Pengerusi PH menjelaskan keputusan untuk turun berkempen itu sekali gus menepis dakwaan bahawa hubungannya dengan bakal Presiden PKR merangkap bakal Perdana Menteri kelapan itu dingin.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya juga berkata sambutan masyarakat tempatan terhadapnya sepanjang tempoh kempen yang memasuki hari ketujuh hari ini sangat baik dan beliau berasa sangat terkesan dengan sokongan yang ditunjukkan mereka.

“Saya mahu jadikan Port Dickson sebagai kampung halaman saya sendiri, jadi kawan-kawan daripada orang Melayu, Cina, India yang saya tengok sambutan dari zahirnya saya cukup terkesan sebab mereka baik sangat.

“Saya dalam politik ini tidak suka formal sangat, saya lebih suka orang terima saya sebagai ahli keluarga dan saya tengok semangat kekeluargaan itu ada di Port Dickson,” katanya.

Turut bertanding pada PRK itu ialah calon bebas, bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen, bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, dan Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dari Pas.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 September lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 13 Oktober ini, manakala pengundian awal pada 9 Oktober.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). -Bernama

Anwar Ibrahim, Port Dickson

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain